BUENOS AIRES, 25 Mei – Huracan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Apertura Argentina selepas mencatat kemenangan dramatik 6-5 menerusi penentuan penalti ke atas Independiente, selepas keputusan seri tanpa jaringan (0-0) dalam masa sebenar di Stadium Libertadores de America, Sabtu lalu.
Penjaga gol Huracan, Hernan Galindez, menjadi wira pasukan apabila menafikan sepakan penalti Santiago Hidalgo dalam penentuan penalti pusingan ‘sudden death’, sekali gus memastikan tiket ke perlawanan akhir.
“Ini luar biasa, satu kegembiraan besar. Kami bermain di tempat lawan yang sukar, tetapi pasukan bekerja keras.
"Dalam penalti, saya berjaya membaca sepakan penting,” kata Galindez.
“Kami satu pasukan yang bersatu dan berjuang sebagai sebuah keluarga,” tambahnya.
Pada perlawanan tersebut, Huracan lebih mendominasi babak pertama dengan percubaan bahaya oleh Matko Miljevic dan Walter Mazzantti, tetapi gagal menemui jaringan.
Independiente pula, yang sebelum ini menewaskan Boca Juniors di suku akhir, kembali memberi tekanan dalam separuh masa kedua dengan cubaan oleh Matias Gimenez hasil hantaran lintang Santiago Montiel.
Huracan kini menanti pemenang pertemuan San Lorenzo dan Platense yang akan berlangsung pada Ahad.-REUTERS.