fb fb fb fb fb

Kedah sasar kedudukan empat terbaik Liga Super 2024

Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersama Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain (kanan) pada satu sidang media khas di pejabat KDA FC, Wisma PKNK, Alor Setar

ALOR SETAR, 25 Mac- Pasukan Kedah Darul Aman, KDA FC menyasarkan untuk mengekalkan kelompok empat pasukan terbaik Liga Super dan melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan Suku Akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

Musim lalu, KDA FC muncul sebagai empat pasukan terbaik Liga Super, namun nasib kurang baik apabila terkandas di pusingan awal dalam semua kejohanan yang lain.

Pemilik majoriti, KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, seandainya satu piala kejuaraan musim ini menjadi milik pasukan itu, ia merupakan bonus kepada pasukan.

Sasaran itu amat realistik memandangkan musim ini kelab melakukan penstrukturan semula kelab.

Beliau berkata, bajet pengurusan yang lebih kecil iaitu pengurangan sebanyak 35 peratus dilakukan bagi memastikan kewangan kelab stabil.

“Berkenaan bajet pasukan KDA FC dalam kejohanan Liga Malaysia musim 2024/25, pihak kelab merancang peruntukan yang lebih kecil dari sebelum ini dalam memastikan kelestarian kewangan kelab, yang dianggarkan 35 peratus pengurangan daripada peruntukkan bajet tahun lepas.

"Ini memandangkan musim 2024/25 adalah musim pertandingan yang luar biasa melibatkan tempoh kontrak sekitar 14-15 bulan memberi kesan kapada perancangan kewangan yang berbeza berbanding musim sebelum ini,"katanya pada sidang media khas di pejabat KDA FC, Wisma PKNK, Alor Setar hari ini.

Selain itu, audit pengurusan, kewangan, komunikasi dan media, kelestarian, perhubungan awam dan undang-undang akan diperkemaskan bagi memastikan urus tadbir lebih baik sekaligus kelab bebas dari hutang di penghujung musim 2024/2025.

Pihak pengurusan juga memandang serius dan mengambil iktibar atas semua isu yang berlaku dan merancang penyelesaian secara berhemah dan teliti agar kelab dapat meneruskan perancangan dan hala tuju masa hadapan dalam saingan Liga Malaysia.

“Ketika kelab menghadapi tuntutan menyelesaikan tunggakan dan perancangan masa hadapan, ruang, masa dan kepercayaan daripada semua pihak berkepentingan amatlah mustahak bagi menongkah arus yang cukup deras namun tiada arus yang tidak dapat diharung jika pihak pengurusan, pasukan dan peminat menggembleng tenaga untuk melihat pasukan Sang Kenari terus terbang tinggi,"katanya.

Untuk musim 2024/25 juga, pasukan-pasukan dibawah KDA FC mengutamakan majoriti anak jati tempatan untuk mewakili pasukan pembangunan KDA FC.

Dalam pada itu, Tan Sri Dr Mohd Daud turut mengumumkan bekas pemain import pasukan itu dari Chile, Nelson Sam Martin dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan KDA FC yang baharu.

Nelson mempunyai rekod cemerlang bersama Sang Kenari apabila membantu pasukan itu muncul juara double treble pada 2007 dan 2008.

Tugas dan fokus utama Nelson adalah merancang dan memantau bakat muda Kedah selain menjadi inspirasi buat anak muda membina DNA masa hadapan pasukan Sang Kenari.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE