fb fb fb fb fb

MPFL: Skuad futsal Kedah pertaruh 80 peratus muka baharu

Datuk Mohd Salleh Saidin meninjau sesi latihan pertama skuad Futsal Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar

ALOR SETAR, 25 Mac- Skuad Futsal Kedah mempertaruhkan 80 peratus muka baharu bagi menghadapi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 musim ini.

Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, seramai 25 pemain telah dipilih untuk menyarung jersi skuad futsal Kedah.

Beliau berkata, kesemua 25 pemain tersebut dipilih daripada lebih 400 pemain yang hadir pada tiga sesi pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

Kehadiran beberapa pemain berpengalaman termasuk pernah beraksi bersama kelab futsal di Thailand bakal menyuntik semangat baharu buat pasukan.

Katanya, majoriti pemain yang terpilih juga merupakan pemain muda berusia belasan tahun dan awal 20-an dan mereka kini bersedia untuk mengharungi saingan MPFL Divisyen 2 yang dijangka bermula pada bulan Mei atau Jun ini.

“Saya yakin dengan barisan pemain baru yang ada dalam team futsal Kedah pada kali ini, seramai 20 orang adalah player-player baru, lima orang daripadanya adalah pemain lama dan insya-Allah pasukan Kedah pada kali ini akan menjadi pesaing utama kepada pasukan-pasukan lain untuk divsyen 2 MPFL pada kali ini,"katanya selepas meninjau sesi latihan pertama skuad Futsal Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, malam tadi.

Sesi Latihan bawah kendalian Ketua Jurulatih, Aidiel Boon Abdullah diadakan pada sebelah malam bagi membolehkan pemain dan pegawai pasukan melaksanakan ibadah puasa dan solat sunat Tarawih.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE