fb fb fb fb fb

KDA FC tamatkan khidmat Ketua Jurulatih, Aidil Sharin

(Foto FB KDA FC)

ALOR SETAR, 17 Oktober- Kedah Darul Aman (KDA FC) mengambil tindakan drastik dengan menamatkan khidmat Aidil Sharin Sahak sebagai Ketua Jurulatih pasukan itu.

Tindakan itu berikutan prestasi hambar yang dipamerkan skuad Kenari musim ini yang menyaksikan mereka menamatkan saingan Liga Super 2022 di tempat ke lapan.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dalam kenyataan berkata, Ahli Lembaga Pengarah kelab tersebut kini fokus kepada perancangan musim depan, sekali gus memutuskan untuk berpisah dengan Aidil Sharin sebelum kempen Piala Malaysia bermula.

Susulan itu, tempat beliau akan dipangku sementara oleh Penolong Ketua Jurulatih, Victor Andrag.

Pihaknya juga merakamkan penghargaan ke atas sumbangan Aidil Sharin sepanjang membimbing Kedah selama empat tahun.

Pengendali kelahiran Singapura itu sebelum ini berjaya membimbing skuad hijau kuning itu muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super 2020 dan 2021 serta layak ke Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

Aidil Sharin juga berjaya membawa Kedah ke pentas Asia tiga tahun berturut-turut dengan layak ke Play-Off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan juga Piala AFC pada 2021 serta 2022.

Kedah akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC dalam format kalah mati Oktober ini.


(KDA FC tamatkan khidmat Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak)

Media Baharu