KUALA LUMPUR, 8 Mei - Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Mohd Asri merangkul gelaran Olahragawati Universiti Malaya (UM) pada Anugerah Sukan Universiti Malaya 2024 di sini malam tadi.
Izzah menerima anugerah berkenaan apabila mencipta kejutan memecahkan rekod Asia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita, sekali gus meraih pingat emas keduanya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional Februari lepas.
Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Anesee Ibrahim.
Izzah menyifatkan penghargaan yang diterimanya menjadi penguat semangat buatnya untuk berusaha lebih keras lagi di masa hadapan.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong terutama UM sejak tahun lepas lagi , memang banyak yang saya dapat sokongan, saya harap lepas ni saya akan beri yang terbaik untuk banggakan Universiti Malaya dan juga Malaysia”, katanya.
Dalam pada itu, atlet olahraga Wan Muhammad Fazri Wan Zahari dipilih sebagai Olahragawan UM.
Beliau yang merangkul anugerah berkenaan buat tahun kedua berturut-turut tidak dapat menyembunyikan kegembiraan atas penghargaan yang diterima.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah atas anugerah yang diberikan sebagai Olahragawan Universiti Malaya . Saya berasa sangat gembira dalam masa yang sama menaikkan motivasi saya untuk terus berjuang untuk menaikkan nama Universiti Malaya dan sepanjang tahun ini”, katanya kepada media selepas selesai majlis anugerah berkenaan.
Pada majlis malam tadi, pelbagai anugerah disampaikan kepada penggiat sukan UM membabitkan penuntut dan kakitangan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan kegiatan sukan dan rekreasi universiti itu.##