MEXICO CITY, 8 Mei - Mexico City kini giat membuat persiapan untuk menerima lebih lima juta pengunjung sempena Piala Dunia FIFA 2026, yang perlawanan pembukaannya akan berlangsung di kota raya itu.
Kejohanan bola sepak terulung dunia itu akan dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada, sekali gus menandakan kali pertama tiga negara menjadi tuan rumah secara serentak.
Tiga daripada 16 lokasi kejohanan akan berada di Mexico, iaitu di bandar Guadalajara, hab perindustrian Monterrey dan ibu negara Mexico City.
11 lokasi lain terletak di Amerika Syarikat, manakala dua lagi di Kanada.
Menteri Dalam Negeri, Rosa Icela Rodriguez berkata, kerajaan Mexico dan pihak berkuasa bandar bekerjasama bagi memastikan kelancaran kejohanan tersebut.
“Lebih lima juta orang dijangka tiba untuk menyaksikan perlawanan di Mexico City, yang mempunyai kira-kira sembilan juta penduduk dan terletak lebih 2,200 meter dari paras laut,” katanya dalam satu pembentangan.
Stadium Azteca, yang pernah menjadi tuan rumah dua perlawanan akhir Piala Dunia FIFA, dijangka siap menjalani pengubahsuaian menjelang perlawanan pembukaan pada 11 Jun.
Pengarah Umum stadium, Felix Aguirre berkata, lebih AS$100 juta (kira-kira RM470 juta) sedang dilaburkan untuk kerja pengubahsuaian itu dan memberi jaminan stadium berkenaan akan siap sepenuhnya.
Bagaimanapun, kerja pengubahsuaian itu mencetuskan kontroversi selepas stadium tersebut dinamakan semula bersempena nama bank yang membiayai projek berkenaan.
FIFA telah mengarahkan stadium itu dirujuk sebagai Mexico City Stadium bagi mematuhi peraturan penjenamaan badan induk berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada memaklumkan sebanyak 40,000 kamera keselamatan baharu akan dipasang, menjadikan jumlah keseluruhan 123,000 unit.
“Kita akan menjadi bandar paling banyak dipantau kamera di seluruh benua Amerika,” katanya.
Penganjur turut menyeru agar kejohanan kali ini bebas daripada homofobia, perkauman dan sebarang serangan terhadap kebebasan awam.
FIFA sebelum ini beberapa kali mengenakan sekatan terhadap Mexico susulan nyanyian berbaur homofobia oleh penyokongnya di stadium.-AFP