fb fb fb fb fb

FIFA umum lokasi Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil

Foto AFP

SAO PAULO, 8 Mei - Stadium Maracana di Rio de Janeiro tersenarai sebagai salah satu daripada lapan lokasi yang diumumkan oleh FIFA untuk menjadi gelanggang perlawanan Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil.

Belo Horizonte, ibu negara Brasilia, Fortaleza, Porto Alegre, Recife, Salvador dan Sao Paulo turut dipilih sebagai bandar tuan rumah bagi edisi pertama kejohanan itu yang diadakan di benua Amerika Selatan.

Kesemua stadium berkenaan juga pernah digunakan semasa Piala Dunia lelaki 2014 yang turut dianjurkan oleh Brazil.

Seperti lebih sedekad lalu ketika Jerman menewaskan Argentina dalam masa tambahan, perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di stadium ikonik Maracana.

“Daripada irama samba ke frevo, daripada pantai memukau ke bandar kosmopolitan, dunia bakal merasai tenaga, warna dan kehangatan yang hanya mampu ditawarkan oleh Brazil,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Bola sepak wanita terus berkembang pada kadar yang luar biasa, dan membawa kejohanan ini ke Brazil akan memberi inspirasi kepada generasi baharu di seluruh benua dan di luar sana,” tambah Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom.

Lapan bandar tersebut dipilih daripada senarai 12 calon, dengan Belem, Cuiaba, Manaus dan Natal tidak tersenarai.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN