fb fb fb fb fb

Pemenang pingat Olimpik, Raisuqe maut selepas kereta dilanggar kereta api

Josaia Raisuqe / Foto AFP

CASTRES, 9 Mei - Pemain ragbi antarabangsa Fiji, Josaia Raisuqe maut selepas kenderaan yang dipandunya dirempuh kereta api ketika dalam perjalanan ke sesi latihan, menurut kenyataan rasmi kelabnya, Castres Olympique.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah lintasan kereta api di barat daya Perancis itu, Raisuqe, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiada penumpang mahupun kru tren yang mengalami kecederaan, namun mereka dilaporkan mengalami trauma akibat insiden tersebut.

“Castres Olympique sedang berkabung atas pemergian Josaia Raisuqe,” kata kelab berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Beliau merupakan seorang rakan sepasukan yang cemerlang, dihormati dan disayangi oleh semua pemain serta penyokong Castres.”

Raisuqe, yang memenangi pingat perak bersama pasukan ragbi tujuh sebelah Fiji di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, telah beraksi sebanyak tujuh kali untuk Castres musim ini, dengan penampilan terakhirnya pada 27 April ketika pasukannya tewas 6-52 kepada Toulouse.

Sebelum menyertai Castres, Raisuqe pernah beraksi untuk Stade Francais namun kontraknya ditamatkan pada 2017 ekoran salah laku serius. Beliau dijadualkan berpindah ke kelab divisyen dua, Brive, untuk dua musim akan datang.

Pemilik Castres, Pierre-Yves Revol, menyifatkan Raisuqe sebagai “seorang insan yang ceria di dalam dan luar padang” serta “tonggak penting dalam komuniti Fiji di kelab itu”.

Susulan insiden itu, sesi latihan Castres pada Khamis dibatalkan manakala perlawanan menentang Clermont yang dijadualkan pada Sabtu turut ditangguhkan.

Liga Ragbi Nasional Perancis (LNR) dalam kenyataannya meluahkan kesedihan atas pemergian tragis itu dan memaklumkan penghormatan akan diberikan kepada Raisuqe di semua perlawanan Top 14 dan divisyen kedua hujung minggu ini.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN