OSLO, 9 Mei –Tottenham Hotspur berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 tahun selepas memenangi Piala Liga pada 2008, dan kejuaraan Eropah selama 41 tahun apabila menang Liga Europa pada 1984; selepas layak ke final musim ini.
Spurs berjaya menewaskan Bodo/Glimt 2-0 dalam aksi kedua separuh akhir, mara ke final dengan agregat 5-1 dan bakal bertemu Manchester United di Bilbao pada 21 Mei ini.
Dominic Solanke dan Pedro Porro masing-masing menyumbang gol dalam perlawanan yang berlangsung dalam cuaca ekstrem di Norway.
Kemenangan itu bukan sahaja membawa Spurs ke pentas final Eropah pertama mereka sejak 2019, malah boleh menyelamatkan jawatan pengendali, Ange Postecoglou yang sedang berdepan tekanan susulan prestasi hambar dalam liga domestik.
Spurs telah menewaskan United tiga kali musim ini dan kini berpeluang menjulang trofi Europa pertama sejak Piala UEFA 1984.
Ini sekali gus menjamin tiket ke Liga Juara-Juara musim hadapan meskipun berada di tangga ke-16 liga.