KUALA LUMPUR, 9 Mei – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski akan menentang pasukan di tangga ke-72 ranking dunia, Cape Verde, dalam satu Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dijadual berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Khamis, 29 Mei, pukul 9 malam.
Selain itu, kedua-dua pasukan turut akan bertemu sekali lagi dalam satu perlawanan berstatus perlawanan latihan yang akan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa, 3 Jun.
Kedua-dua perlawanan ini antara persiapan penting bagi skuad Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Arab Saudi. Malaysia dijadual menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa, 10 Jun, pukul 9 malam.
Terdahulu, pada 25 Mac lalu, skuad Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan F dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Dalam satu lagi perlawanan kumpulan, Vietnam meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Laos di Stadium Binh Duong.
FAM turut memaklumkan bahawa tiket bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan iaitu Malaysia menentang Cape Verde dan Malaysia menentang Vietnam akan dijual secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi www.tickethotline.com.my bermula Isnin, 12 Mei , pukul 10 pagi.
Bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Cape Verde yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Khamis, 29 Mei, harga tiket Terbuka ditetapkan pada RM40, manakala tiket untuk kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun dijual pada harga RM5.
Sementara itu, bagi perlawanan Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa, 10 Jun, harga tiket ditetapkan seperti berikut: Tiket Terbuka RM40, Tiket Grandstand RM60, Tiket Premium RM70, dan Tiket Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) RM5.
Kesemua tiket untuk kedua-dua perlawanan tersebut hanya akan dijual secara dalam talian sepenuhnya sehingga ke hari perlawanan dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di stadium.