fb fb fb fb fb

KDA FC perkuat pasukan, guna khidmat Partiban, Halim Saari

(Pemain sayap KL CIty, J.Partiban dipinjamkan bagi memperkuat skuad Sang Kenari)

KUALA LUMPUR 2 Ogos- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mendapatkan khidmat dua pemain tempatan baharu bagi membantu pasukan itu melakar kejayaan dalam kancah Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Melalui satu kenyataan, kelab itu mengesahkan membawa masuk pemain sayap KL CIty, J.Partiban secara pinjaman dan pemain tengah dan Abdul Halim Saari yang pernah menabur bakti bersama pasukan dari 2016 hingga 2018.

Kehadiran Partiban dijangka mampu memperkuatkan bahagian sayap skuad Sang Kenari dengan larian pantas dan hantaran lintang yang berkualiti.

Selain membantu KL City melangkah jauh dalam saingan Piala AFC dan Piala Malaysia musim lepas, pemain berusia 30 tahun itu juga cemerlang ketika bersama Perak, Terengganu dan Sarawak.

Sementara itu, KDA FC berharap pengalaman dimiliki Halim Saari bersama pasukan Selangor FC dari tahun 2019 hingga 2022 mampu menambah kekuatan di bahagian tengah.


(Abdul Halim Saari/ FB Kedah Darul Aman FC)

Kedua-dua pemain tempatan ini diumumkan dalam jendela perpindahan kedua musim ini selepas Kedah mengikat dua pemain import baharu, Ifedayo Olusegun dan Moses Atede awal bulan lalu.

Dalam pada itu, Partiban mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai skuad Sang Kenari.

Dia juga yakin kepantasan dan pengalaman dimiliki bersama beberapa pasukan besar menjadi punca jurulatih, Nafuzi Zain berminat mendapatkan khidmatnya.

"Diberi kepercayaan, jadi saya akan buat yang terbaik untuk Kedah. Saya akan bagi apa yang saya ada untuk kuatkan pasukan Kedah," katanya.

Media Baharu