ALOR SETAR, 22 Jun - Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC kini mempunyai segala alat dan kelengkapan untuk membina gaya permainan yang lebih berstrategik dan berwasasan bagi mencipta kemenangan demi kemenangan.
Ia hadir selepas pihak pengurusan KDA FC terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk pencapaian pasukan yang dibawah tanda aras atau prestasi sebenar.
Selain itu, masalah kecederaan teruk yang menimpa pemain import serta pemain import yang mahu meninggalkan pasukan lebih awal menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mencari pemain gantian dan ia melibatkan kos kewangan baharu yang tidak termasuk dalam bajet sebelum ini.
Bagaimanapun Penaung KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar menzahirkan rasa syukur kerana segala urusan telah dipermudahkan.
Beliau berkata, KDA FC berjaya mendapatkan pemain import gantian iaitu Sanrawat Dechmitr dari Thailand dan pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi dengan cepat sebelum bermula saingan Kumpulan G, Piala AFC di Bali, Indonesia, Jumaat ini.
"Sebulan yang lepas, saya dan pihak pengurusan berhadapan dengan pelbagai masalah. Pencapaian pasukan yang agak di bawah tanda aras sebenar. Ada pemain impot yang cedera teruk. Ada juga pemain impot yang ingin meninggalkan pasukan KDA FC lebih awal. Kami perlu mencari pemain gantian. Ini juga akan melibatkan kos kewangan baharu yang tidak dibajetkan sebelum ini."
"Alhamdulillah atas segala kemudahan yang diberikan Allah. Pasukan KDA FC dapat mencari ganti pemain yang sama handal (jika tidak lebih handal) dalam masa yang cepat. Rasa seperti susah sangat apabila ditimpa masalah. Lebih teruja, ini semua dapat dilakukan dengan implikasi kewangan yang tidak banyak. Alhamdulillah atas segala nikmat dan anugerah Illahi," kata Mohd Daud dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.
Beliau berkata, pihak pengurusan amat berterima kasih kepada semua penyokong yang dapat bersabar memberi masa dan kepercayaan kepada pengurusan menguruskan krisis dengan tenang dan berhemah.
(Penaung KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar)
"Ini adalah hasrat semua penyokong Kedah Darul Aman. Kami diperingkat pengurusan amat berterima kasih kepada semua penyokong yang bersabar memberi masa dan kepercayaan kepada kami menguruskan 'krisis' dengan tenang dan berhemah. Apa-apa pun, saya tidak menjangka semua ini dapat diuruskan dalam masa yang segera sebelum berlangsungnya pertandingan AFC di Bali. Bukan senang nak tukar pemain di tengah musim. Tetapi itulah rezeki KDA FC."
"Marilah kita memberi sokongan padu kepada mereka untuk menunjukkan kesungguhan dan kecerdasan mereka dalam misi mengharumkan nama negara amnya dan KDA FC khususnya," katanya.
Kedah yang diundi dalam Kumpulan G dijadual berdepan kelab dari Indonesia Bali United pada 24 Jun diikuti Kaya Iloilo FC dari Filipina dan Visakha United FC dari Kemboja masing-masing pada 27 dan 30 Jun.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Capt I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.