KUALA LUMPUR, 27 Mei- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru lebih banyak sektor korporat tampil dalam pembangunan sukan negara.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ini khususnya dalam arena yang memerlukan pembiayaan besar seperti permotoran.
Beliau memaklumkan, sebanyak RM5.6 juta diperuntukkan KBS untuk pembangunan sukan permotoran pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM1.9 juta disalurkan kepada Persatuan Sukan Motor Malaysia (MAM), RM450,000 ringgit kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri, manakala baki RM3.2 juta diberikan kepada kelab dan persatuan, termasuk di peringkat negeri.
"Kita masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan. Seperti yang saya katakan, peruntukan sebanyak RM5.6 juta sahaja sememangnya tidak mencukupi untuk sukan permotoran.
"Sebab itulah kita menggalakkan sektor korporat untuk turut serta," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian CIMB Group Holdings Berhad bersama pelumba muda negara, Amer Harris Jefry.
Sehubungan itu, Hannah berharap agar lebih banyak inisiatif dan potongan cukai dapat dilaksanakan bagi menarik minat semua pihak terutama sektor korporat untuk melabur dalam sukan.
"Buat masa ini, kita masih bergantung pada beberapa pemain industri utama sahaja untuk menyokong sukan-sukan tertentu.
"Tetapi saya berharap, semua institusi kewangan, seperti CIMB, akan tampil ke hadapan dan mengambil satu sukan sebagai sukan angkat mereka.
“Kita ada 103 sukan telah diwartakan, jadi pasti ada satu yang sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada strategi penjenamaan korporat mereka," ujarnya.
Sementara itu, Amer Harris berharap dapat memberikan prestasi cemerlang pada musim pertamanya pada Kejohanan Porsche Carrera Piala Asia (PCCA).
"Sudah tentu saya mahu menang, tetapi nampaknya agak sukar.
"Namun, saya tetap akan cuba sebaik mungkin. Saya rasa kedudukan tiga teratas masih boleh dicapai", katanya yang mengikat kontrak dua tahun dengan CIMB.
Pusingan seterusnya kejohanan ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 6 hingga 8 Jun.