fb fb fb fb fb

Neymar tersingkir daripada skuad kebangsaan Brazil

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 27 Mei- Ketua Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti memutuskan Neymar yang dilanda kecederaan dikeluarkan daripada skuad kebangsaan untuk kelayakan Piala Dunia akan datang.

Dalam masa sama, beliau mengumumkan kemasukan semula pemain tengah Manchester United, Casemiro untuk perlawanan pusingan kelayakan menentang Ecuador dan Paraguay pada bulan depan.

Turut tersenarai, bintang Real Madrid Vinicius Jr dan pemain sayap Barcelona, ​​Raphinha.

Pemain muda Estevao, 18, yang bakal menyertai Chelsea dari Palmeiras Sao Paulo, turut dipanggil.

Tetapi penyerang Real Madrid Rodrygo dan Endrick yang kedua-duanya cedera tidak tersenarai.

Ancelotti berkata Casemiro akan membawa karisma, personaliti dan bakat.

Bagaimanapun beliau masih menaruh harapan bahawa Neymar akan dapat beraksi semula pada masa akan datang.

Neymar mengalami kecederaan lutut yang serius dalam perlawanan terakhirnya untuk Brazil pada Oktober 2023, yang berakhir dengan kekalahan 0-2 kepada Uruguay.

Dalam perkembangan sama, Ancelotti berikrar untuk membawa Brazil merangkul kejuaraan dunia buat kali keenam.

Bekas pengurus Real Madrid itu merupakan pemain bukan Brazil pertama dalam tempoh enam dekad melatih pemenang Piala Dunia lima kali itu.

"Saya sangat berbangga untuk memimpin pasukan terbaik di dunia.

"Saya mempunyai tugas besar di hadapan dan mempunyai harapan besar bahawa Brazil akan menjadi juara sekali lagi," katanya semasa pembentangan rasminya di sebuah hotel di sini.

Ancelotti juga menetapkan sasaran untuk memenangi Piala Dunia 2026.

Skuad Selecao kini merosot di tempat keempat dalam saingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. - AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello