fb fb fb fb fb

KBS salur RM100,000 kepada gimnastik Terengganu

FOTO Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju menyalurkan bantuan RM100,000 kepada Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu (PGNT) bagi menambah baik peralatan sedia ada serta membangun dan mengembangkan sukan gimnastik di negeri itu.

Menterinya Hannah Yeoh menerusi satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bantuan tersebut dihulurkan selepas KBS mengadakan mesyuarat bersama PGNT Khamis lepas dihadiri oleh Presidennya Abdul Razak Mat Amin serta ahli jawatankuasa persatuan dan ibu bapa atlet gimnastik negeri.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa Majlis Sukan Negara akan menempatkan jurulatih gimnastik wanita di Dewan Gimnastik Bukit Payung Terengganu bagi membolehkan lebih ramai gimnas wanita dapat dikenal pasti dan diberikan latihan harian yang lebih sistematik.

“Ini adalah bagi memastikan bakal-bakal gimnas wanita yang berminat berkecimpung dalam sukan gimnastik diberi peluang mendapatkan latihan dan pendedahan yang sewajarnya tanpa sebarang sekatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat turut membincangkan tentang langkah-langkah yang boleh diambil KBS bagi menyelesaikan isu pemakaian gimnas wanita Terengganu.

"Pada masa ini, gimnas wanita Terengganu memakai ‘unitard’ penuh badan. Peraturan Persatuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) membenarkan pemakaian yang menutup anggota tubuh badan kecuali tapak tangan dan tapak kaki.

"Pakaian 'unitard' ini telah dipakai oleh ramai gimnas termasuk pasukan gimnastik wanita Jerman di Sukan Olimpik Tokyo. Malah bekas gimnas negara Izzah Azman juga telah memakai 'unitard' semasa penyertaan di Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham dan telah memenangi pingat untuk negara,"katanya.

Hannah berkata demikian berhubung pendirian kerajaan negeri Terengganu yang sebelum ini kekal dengan pendirian melarang penyertaan mereka dalam sukan gimnastik pada mana-mana kejohanan termasuk temasya Sukan Malaysia (Sukma).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE