fb fb fb fb fb

Bolakid 2023 rebut Piala Datuk Dr Fathul Bari disertai lebih 450 pemain

Kejohanan Bolakid 9 Sepasukan Bawah 12 tahun merebut Piala Datuk Dr Fathul Bari di Padang Bola Sepak, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra

KANGAR, 28 Oktober - Lebih 450 pemain dari sekolah rendah mewakili 28 pasukan bola sepak dalam Kejohanan Bolakid 2023 bagi merebut Piala Datuk Dr Fathul Bari.

Kejohanan tersebut bertujuan mencungkil bakat baharu serta menggilap bakat pemain di peringkat akar umbi.

Kejohanan berlangsung di Padang Bola Sepak, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra turut disertai pasukan bawah 12 tahun dari Perlis dan negeri-negeri di utara tanahair serta selatan Thailand dengan format permainan sembilan sepasukan dan dipecahkan kepada lapan kumpulan secara liga.

Penaung Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, kejohanan itu menjadi platform penting memilih pemain berkualiti bagi mewakili negeri dan seterusnya negara pada masa hadapan.

"Semua pihak perlu memainkan peranan dan mengalas tanggungjawab dalam kita menyerlahkan bakat para pemain  ini seawal usia kanak-kanak lagi.

"Ibu bapa atau keluarga juga turut berperanan penting menyokong anak-anak khususnya mereka yang berminat dalam sukan bola sepak ini agar bakat yang ada tidak terpendam begitu sahaja," kata Dr Fathul ketika meninjau Kejohanan Bolakid 9 Sepasukan Bawah 12 tahun merebut Piala Datuk Dr Fathul Bari di Padang Bola Sepak, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini.

Kejohanan kali ini turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM8,000.

TETITIA YUSOFF