SEREMBAN, 8 Januari- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengenal pasti fasiliti sukan di bawah kementerian itu di seluruh negara yang perlu dibaik pulih secara berperingkat.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata pembangunan sukan terutama di peringkat akar umbi akan tergendala jika keadaan fasiliti sukan sedia ada tidak berada dalam keadaan baik.
"Kita ada banyak potensi atlet, bukan saja dalam sukan tumpuan tetapi dalam sukan-sukan lain yang mungkin kita tidak dapat menemukan mereka kerana fasiliti yang kurang mencukupi.
"Jadi kalau fasiliti sukan itu kurang, kuranglah penglibatan yang mana kita nak pastikan nanti di hadapan bukan sahaja di kawasan tumpuan tapi di tempat yang kita tidak jumpa nak temukan bakat-bakat tersebut," katanya.
(Adam Adli Abd Halim)
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Fin Swimming Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Pertama di Pusat Akuatik Negeri, Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Zul Fadhli Abd Aziz dan Presiden Persatuan Finswimming Malaysia, S. Ravivarma.
Jelasnya, secara keseluruhan tahap fasiliti yang ada dalam keadaan baik namun disebabkan kemudahan itu sentiasa digunakan ia perlu dijaga setiap masa.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, penganjuran Kejohanan Fin Swimming akan melahirkan lebih ramai atlet dan bakat baharu dalam sukan terbabit memandangkan pembangunan sukan tersebut masih baharu.