fb fb fb fb fb

Kawalan emosi, rahsia kejayaan Sabalenka

Aryna Sabalenka / AFP

NEW YORK, 7 September - Kejayaan mengawal emosi membantu pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka menjuarai kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pengalaman sebelum ini turut membantu pemain berusia 27 tahun dari Belarus itu mengawal perlawanan.

Beliau mengakui kekalahan di Terbuka Australia dan Terbuka Perancis turut menjadi pendorong untuk menilai semula gaya dan corak permainan ketika dalam perlawanan akhir.

"Selepas Terbuka Australia, saya fikir cara terbaik ialah melupakannya dan terus perjuang, tetapi perkara yang sama berlaku di Terbuka Perancis.

"Jadi selepas Terbuka Perancis, saya sedar mungkin saya perlu melihat semula apa yang terjadi dan belajar daripada kesilapan.

"Ini disebabkan saya tidak mahu ia (kekalahan) terus berlaku," kata Sabalenka.

Menurut beliau, buku "Into the Magic Shop" yang dibaca ketika dalam percutian di Mykonos, Pulau yang terletak di Greece turut membantu dirinya mencapai ketenangan.

Sabalenka berkata, buku tersebut banyak membantunya untuk kekal fokus terhadap perkara yang benar-benar penting, serta tidak akan membiarkan emosi mengawal diri.

Beliau turut menyifatkan kemenangan itu sebagai sangat bermakna, bukan sahaja kerana cabaran musim ini, tetapi juga sebagai penghormatan kepada mendiang bapanya yang meninggal dunia pada 2019.

“Saya mahu letakkan nama keluarga kami dalam sejarah," katanya.

Terdahulu, Sabalenka yang juga pemain nombor satu dunia, menewaskan pilihan kelapan dari Amerika Syarikat, Amanda Anisimova 6-3, 7-6 (3) dalam perlawanan akhir perseorangan wanita Terbuka AS.

Pilihan utama itu berjaya mempertahankan kejuaraannya sekali gus mengumpul empat gelaran Grand Slam. -AFP

MOHAMAD KHAIRIE KHALID