PUTRAJAYA, 6 September - Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah kejohanan Karate Dunia Siri A yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, dari 3 hingga 5 Oktober ini.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata kejohanan berprestij itu bakal menghimpunkan lebih 1,400 atlet dari 89 negara, menjadikannya salah satu penganjuran terbesar di rantau Asia tahun ini.
Menurut beliau, kejohanan tersebut bukan sekadar medan merebut mata ranking dunia bagi kelayakan ke Kejohanan Dunia, malah menjadi pentas penting menilai tahap persiapan skuad negara menjelang Sukan SEA Bangkok 2025 dan Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.
“Dalam World Series (kejohanan Karate Dunia Siri A) ini semua fighter (pesaing) adalah bertaraf dunia. Apa yang penting kita hendak memastikan atlet-atlet seperti C. Shahmalarani, Prem Kumar, H. Sureeya Sankar mara ke suku atau separuh akhir untuk memastikan Malaysia memenangi pingat.
"Ini bermakna jika kita mara ke separuh akhir di kejohanan bertaraf dunia, tiada masalah untuk atlet membawa pulang pingat nanti” katanya.
Menurut beliau, untuk temasya di Sukan SEA nanti skuad negara menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi empat pingat emas.
Ketika ini terdapat beberapa atlet yang masih menjalani proses pemulihan kecederaan.
Senarai akhir kontinjen negara akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Nur Azmi menegaskan penganjuran kejohanan Karate Dunia Siri A turut memberi peluang pendedahan antarabangsa kepada atlet negeri yang ingin menguji kemampuan di pentas dunia.
"Pengalaman berdepan lawan berkelas dunia akan menjadi penanda aras penting untuk memastikan skuad negara mampu mengekalkan prestasi dari pentas Sukan SEA hingga ke Sukan Asia," katanya.