fb fb fb fb fb

Kapten Brazil akui ‘sakit’ tersingkir dari Piala Dunia

(FOTO IHSAN FIFA)

AL RAYYAN, 10 Disember- Kapten Brazil, Thiago Silva akur dengan keputusan tersingkir dari Piala Dunia selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir dengan Croatia sebentar tadi.

Silva akui kekalahan tersebut sangat menyakitkan namun tetap menerima hakikat yang dia tidak akan memenangi trofi itu.

Juara lima kali itu tewas 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 pada penghujung masa tambahan di Qatar.

Neymar meledak gol pendahuluan pada masa tambahan tetapi Bruno Petkovic menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan.

“Ia sukar,” kata Silva. “Saya telah melalui beberapa kekecewaan dalam hidup saya dan apabila kita kehilangan sesuatu yang penting , ia amat menyakitkan.

Kapten Brazil itu berkata pasukannya tergamam ketika Croatia meledak gol penyamaan.

“Saya rasa tiba-tiba kami hilang tumpuan,” kata Silva.

Bek tengah Chelsea berusia 38 tahun itu turut akui Qatar adalah aksi  terakhir Piala Dunianya.

"Sayangnya sebagai pemain saya tidak akan dapat menjulang trofi ini," katanya. "Siapa tahu jika pada masa hadapan saya akan mendapat peluang dalam peranan lain.”-AFP


(FOTO IHSAN FIFA)

Media Baharu