LONDON, 4 Julai- Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo berhasrat mahu meninggalkan pasukan Manchester United pada musim panas ini jika tidak menerima tawaran yang sesuai daripada kelab berkenaan.
Penyerang berusia 37 tahun itu kembali ke Old Trafford dari Juventus pada musim panas lalu selain turut menjadi penjaring terbanyak United musim lalu.
Namun, keseluruhan kempen dianggap sangat mengecewakan selepas skuad kendalian Ralf Rangnick hanya menghuni tangga keenam dalam Liga Perdana Inggeris.
The Red Devils turut terlepas kelayakan Liga Juara-Juara meninggalkan pemenang Ballon d'Or lima kali yang mempunyai baki setahun dalam kontraknya ditambah setahun pilihan, berdepan prospek bermain di Liga Europa untuk kali pertama.
Manchester United bertegas Ronaldo tidak dijual dan pengurus baharu, Erik ten Hag berminat untuk bekerjasama dengannya.
"Sudah tentu saya mahu mengekalkannya. Dia sangat penting untuk Manchester United tahun ini dan boleh menunjukkan statistik yang hebat." kata ten Hag.
Ronaldo memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara selama enam tahun sarat trofi bersama United sebelum pergi ke Real Madrid pada 2009 dan Juventus pada 2018, mengumpul lebih banyak trofi di kedua-dua kelab.
(FOTO AFP)
Pemain antarabangsa United akan melaporkan diri untuk latihan dalam beberapa hari akan datang sebelum terbang ke Thailand pada hari Jumaat untuk memulakan jelajah pra musim mereka.
Setakat ini, Chelsea dan Bayern Munich menjadi sasaran bintang itu manakala Napoli turut berminat membawa kembali Ronaldo ke Itali.
Sporting Lisbon dan Porto pula cuba menggunakan kelebihan sebagai kelab negara asal pemain itu untuk membawa Ronaldo pulang ke kampung halaman sebelum bersara.