fb fb fb fb fb

Kalah kepada Norway, Luciano Spalletti diminta berundur

Foto AFP

ROME, 9 Jun - Jurulatih Itali, Luciano Spalletti umum pengundurannya daripada jawatan tersebut susulan kekalahan memalukan kepada Norway 0-3 minggu lalu.

Menurut pengendali skuad Azzurri itu, perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Moldova, Isnin ini akan menjadi penampilan terakhirnya bersama pasukan.

“Kami telah berbincang dengan presiden Persekutuan Bolasepak Itali pada hari Sabtu, dan saya dimaklumkan akan dilepaskan daripada tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan. Saya tidak gembira dengan keputusan ini tetapi saya menerimanya demi kebaikan pasukan," katanya dalam sidang media semalam.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Bolasepak Itali, Gabriele Gravina memuji kesungguhan yang ditunjukkan Spalletti sepanjang mengendalikan pasukan.

Bagaimanapun kekalahan Itali kepada Norway tidak boleh diterima.

Spalletti, 66, mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Itali pada Ogos 2023 menggantikan Roberto Mancini. Sepanjang memimpin pasukan kebangsaan, beliau mencatatkan 11 kemenangan, enam seri dan enam kekalahan.

Beberapa nama kini disebut-sebut bakal menggantikan Spalletti. Antaranya Claudio Ranieri, 73, jurulatih berpengalaman yang terkenal dengan kejayaan membawa Leicester City muncul juara Liga Perdana Inggeris pada 2016.

Seorang lagi calon ialah Stefano Pioli, kini mengendalikan kelab Arab Saudi, Al-Nassr. Sebelum ini beliau mencipta kejayaan bersama AC Milan dengan menjuarai Serie A pada tahun 2022.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN