PARIS, 9 Jun- Pemain muda tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz dinobat sebagai juara tenis Terbuka Perancis selepas menundukkan pilihan utama, Jannik Sinner pada Ahad.
Alcaraz bangkit dari ambang kekalahan untuk menang 4-6, 6-7 (4), 6-4, 7-6 (3), 7-6 (10-2) dalam aksi penuh dramatik sebelum merangkul gelaran Grand Slam buat kali kelima.
Aksi akhir berlangsung selama lima jam 29 minit sekali gus mencatatkan masa perlawanan paling lama dalam sejarah kejohanan Roland Garos.
Alcaraz, 22 tahun, kini mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima penampilan final Grand Slam.
"Ini perlawanan paling mendebarkan pernah saya lalui, tanpa ragu. Saya rasa perlawanan ini lengkap dengan segala-galanya.
Segalanya tentang keyakinan diri. Saya langsung tidak meragui kemampuan saya dan saya hanya terus mencuba. Juara sebenar lahir daripada situasi sebegini," kata Alcaraz.
Alcaraz juga menjadi pemain lelaki pertama yang memenangi gelaran Grand Slam selepas menyelamatkan mata kejuaraan sejak Novak Djokovic menundukkan Roger Federer di final Wimbledon 2019.
Alcaraz kini mendahului 8-4 dalam rekod pertemuan, selepas turut mengalahkan Sinner di final Terbuka Itali, yang juga merupakan penampilan semula Sinner selepas menjalani penggantungan doping selama tiga bulan.- REUTERS