IPOH, 12 November - Kabin belia e-Sukan yang pertama di Perak akan dibina bersebelahan velodrome rakyat menjelang Disember ini.
Pusat tersebut akan menjadi hub komuniti dan pusat penganjuran kejohanan-kejohanan sukan elektronik di negeri Perak.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap dengan pembinaan pusat tersebut ianya dapat mengumpulkan anak muda dalam satu-satu program dan menjadi sumber pendapatan kepada rakyat di negeri itu.

"Ini setelah saya memikirkan bahawa, itu satu-satunya fasiliti sukan di kompleks sukan di Bandaraya Ipoh yang jarang sekali digunakan. Jika kita bina kabin belia e-sukan di situ, maka bila orang ramai datang ianya lebih terjaga dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kabin Belia e-Sukan, di sini.
Perak menjadi lokasi kedua pembinaan kabin belia e-sukan selepas lokasi pertama di Kepala Batas, Pulau Pinang.