fb fb fb fb fb

JWC: Malaysia tewas 0-4 kepada Argentina, wajib menang menentang Australia

Pemain Argentina meraikan jaringan yang dihasilkan pada perlawanan peringkat kumpulan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional hari ini/FOTO BERNAMA

 KUALA LUMPUR, 6 Disember - Tuan rumah Malaysia berdepan misi wajib menang ketika menentang Australia, dalam usaha untuk menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023, selepas dibenam 0-4 oleh juara bertahan, Argentina pada malam ini.

Skuad Young Tigers yang memulakan kempen dengan membelasah Chile 7-1 semalam, dilihat sukar menandingi kelincahan Argentina, selain gagal menyempurnakan keempat-empat pukulan sudut penalti pada aksi kedua Kumpulan A, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Pada aksi tersebut yang tertangguh selama 15 minit akibat hujan lebat sejak tengah hari, peluang terbaik bagi skuad Muhamad Amin Rahim untuk mendahului hadir pada minit ke-18, namun percubaan Alfarico Lance Liau Jr, berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang Agustin Magdakena.

Bagaimanapun, pasukan nombor satu dunia Argentina, berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-20 menerusi Bautista Capurro, yang menyudahkan percubaan sudut sukar dari bahagian kiri.

Argentina kemudian berjaya menggunakan kelebihan beraksi menentang 10 pemain selepas Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini, yang dilayangkan kad hijau (keluar padang dua minit), untuk mengandakan jaringan menerusi Marco Aguirregomezcorta minit ke-28.

Serangan bertali-arus skuad negara pada suku ketiga gagal membuahkan hasil, namun Argentina yang menerima pukulan sudut pertamanya, berjaya menyempurnakan peluang itu menerusi kapten Inaki Minadeo pada minit ke-44.

Bersambung suku keempat, Juan Fernandez menjaringkan gol padang pada minit ke-48 untuk melengkapkan kemenangan 4-0 pasukan itu, dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan.

Ini merupakan kekalahan kelima skuad Young Tigers kepada Argentina dalam lapan pertemuan, dengan seri sekali dan menang dua kali.

Terdahulu, Australia yang tewas tipis 0-1 kepada Argentina semalam, membenam Chile 7-1 pada satu lagi aksi kumpulan sama.

Argentina di bawah kendalian Juan Gilardi, hampir pasti mara ke suku akhir apabila menduduki tempat teratas dengan enam mata, diikuti Australia mengikut kelebihan jaringan walaupun berkongsi tiga mata dengan Malaysia, manakala Chile menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas akan mara ke pusingan lapan terakhir, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi 9-16.

Pencapaian terbaik Malaysia pada JWC ialah meraih tempat keempat pada edisi sulung 1979 serta 1982 dan 2013 manakala pada edisi lepas, skuad negara tersingkir pada suku akhir selepas tewas 0-4 kepada Perancis.

Sementara itu Muhamad Amin berkata anak buahnya mampu memberi cabaran sengit buat Argentina pada awal perlawanan, namun tidak dapat mengekalkan tahap fizikal yang sama sepanjang 60 minit, selain hilang fokus selepas dibolosi.

“Pada dua suku pertama kita mampu beri saingan kepada mereka, namun tidak mampu mengekalkan fizikal (kecergasan) sepanjang perlawanan. Selain itu, gagal menyempurnakan peluang yang kita dapat, termasuk pukulan sudut penalti.

“Kita juga telah down selepas dibolosi, sepatutnya lawan balik mengejar gol penyamaan, tetapi telah beri ruang untuk mereka jaringkan lebih banyak gol. Kini kita tiada cara lain, perlu menang menentang Australia pada Jumaat untuk mara ke suku akhir,” katanya pada sidang media selepas aksi tersebut. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN