KUALA LUMPUR, 15 Julai - Pemenang pingat perak acara powerlifting Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, Jong Yee Khie, menarik diri daripada menyertai Sukan Komanwel 2022 Birmingham, hujung bulan ini.
Perkara itu disahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan.
Menurut MOM, Yee Khie terpaksa melupakan temasya sukan kedua terbesar dunia itu susulan kecederaan yang dialami semasa sesi latihan baru-baru ini.
Keputusan tersebut dibuat setelah mendapat pengesahan mengenai tahap kecederaan jaguh berusia 33 tahun itu daripada pakar di Institut Sukan Negara (ISN).
Situasi itu menyaksikan jumlah atlet dalam kontinjen Malaysia ke Birmingham 2022 kini berkurang kepada 105 orang.
(FOTO MSN)
Ketiadaan Yee Khie juga bakal menjejaskan lagi sasaran pingat emas negara di Birmingham.
Ini kerana dia sebelum ini meraih pingat perak kategori 107 kilogram di Tokyo dan Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2021.
Selain itu atlet kelahiran Sarawak tersebut turut pernah meraih perak di Komanwel 2018 Gold Coast, dan gangsa edisi 2014 di Glasgow, selain emas di Sukan Para ASEAN 2015 Singapura dan 2017 Kuala Lumpur.