fb fb fb fb fb

Jonathan Nyepa gegar Singapura

KUALA LUMPUR, 18 April- Atlet kebangsaan, Jonathan Nyepa menampilkan larian bertenaga untuk muncul raja pecut dan membantu kuartet lelaki 4x100 meter (m) meraih pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82 2022.

Bagi acara 100m, pelari dari Sarawak itu yang mencatat masa 10.66 saat (s) hanya dibezakan 0.01s untuk mengesahkan emas miliknya selepas mengetepikan wakil tuan rumah, Marc Brian Louis yang meraih perak dengan catatan 10.67s.

Lebih manis, Jonathan turut berjaya menewaskan rakan senegara, Muhammad Haiqal Hanafi, apabila juara Sukan SEA itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 10.75s.

(Atlet kebangsaan, Jonathan Nyepa)

Jonathan kemudian melakar kejayaan berganda apabila beliau bersama Muhammad Haiqal, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Muhammad Zulfiqar Ismail mencatat 39.66s untuk merangkul emas acara 4x100m lelaki menewaskan Indonesia serta Singapura yang berkongsi perak selepas kedua-dua negara itu mencatat masa 40.09s.

Dalam pada itu, M.Avinesh Austin turut mencuri tumpuan susulan kejayaannya meraih emas acara 800m lelaki dengan catatan masa satu minit 55.14s manakala atlet Filipina, Edwin Giron Jr merangkul perak (1:55.27s) dan Mohamed Haja Fayiz yang mewakili pasukan Swift membawa pulang gangsa (1:59.29s).

Media Baharu