GEORGE TOWN, 18 April - Kedah menewaskan Penang FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya.
Bagi jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, nasib tidak menyebelahi pasukannya walaupun pemainnya menunjukkan corak permainan yang hebat.
Ketiadaan pemain utama yang cedera merupakan faktor lain yang menyebabkan pasukan tuan rumah kecundang di laman sendiri.
Bagi pengendali Kedah FC, Aidil Shahrin Sahak,pasukannya mempamerkan komitmen tinggi walaupun ketinggalan 1-0 pada awal babak pertama.
Pasukannya mempamerkan aksi terbaik dengan kombinasi menarik hasil kesungguhan yang dicipta dalam babak kedua menerusi 2 gol yang dijaringkan oleh Wanja Ronald Ngah.
Dalam aksi dua kelab utara tanah air itu, Penang seakan-akan bakal menamatkan penantian kemenangan pertama apabila Hilal El-Helwe menyudahkan lintangan T. Saravanan pada minit ke-16.
Bagaimanapun, Kedah bangkit pada babak kedua menerusi jaringan berganda Ronald Ngah dalam masa tiga minit.
Ronald Ngah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas dia dijatuhkan Ariff Ar-Rasyid Ariffin.
(Pemain Kedah, Wanja Ronald Ngah (dua, kanan) cuba menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super menentang pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya malam tadi/BERNAMA)
Berselang tiga minit, pemain kelahiran Cameroon itu sekali lagi menewaskan Khatul Anuar Jalil, kali ini menerusi gerakan solo menarik susulan satu serangan balas pantas.
Dengan kemenangan itu, Kedah kembali menduduki tangga kedua Liga Super dan terikat 12 mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), biarpun pasukan Harimau Selatan mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Penang pula berada di tangga kesembilan dengan tiga mata selepas lima perlawanan.l
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Terengganu FC memperoleh kemenangan pertama selepas menewaskan Sarawak United 2-0 hasil jaringan Kpah Sherman dan Zuasyraf Zulkiefle.
Perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Kuching.