fb fb fb fb fb

Johor tambah tujuh pingat emas acara Kanu

PUTRAJAYA, 20 September - Sukan kanu terus menjadi lubuk pingat buat kontinjen Johor dengan tambahan tujuh lagi pingat emas pada hari ketiga acara berlangsung Sukan Malaysia (Sukma) 2022 hari ini.

Atlet kanu, Muhammad Fakrullah Mohd Rumaize dan Nur Amirah Anisah Abdul Kadir menjadi penyumbang emas terbanyak masing-masing dengan dua kilauan emas.

Muhammad Fakrullah menguasai acara kayak individu (K1) 200 meter lelaki dan kayak berpasangan (K2) 200 meter lelaki bersama Ahmad Nuqman Hadi Ayob.

(Atlet Kanu Johor Muhammad Fakrullah Mohd Rumaize sumbang
dua pingat emas buat kontinjen Johor/FOTO Tuan Ikram)

Manakala Amirah Anisah menghadirkan kilauan emas dalam acara Touring kayak individu (TK1) 200 meter wanita dan Touring kayak berpasangan (TK2) 200 meter wanita bersama Nurain Fitriya Selaiman.

Johor turut meraih emas dalam acara touring kayak individu (TK1) 200 meter lelaki, kayak berpasangan (TK2) 200 meter lelaki dan kayak berpasukan (K4) 200 meter wanita.

Kontinjen Johor mengungguli kutipan pingat acara kanu setakat ini dengan keseluruhan 15 pingat emas,diikuti terengganu mengumpul 5 pingat emas dan Wilayah Persekutuan dengan 3 emas.

Media Baharu