PUTRAJAYA, 19 September- Kontinjen Johor optimis muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) buat julung-julung kali sejak temasya itu diperkenalkan sejak 36 tahun lepas, jika mampu meneruskan momentum cemerlang dengan memburu lebih 50 pingat emas.
Ketua Kontinjen Johor Datuk Mohamad Najib Samuri berkata sukan kenu, berbasikal, tinju dan menembak menjadi antara prospek utama untuk melakar sejarah dengan terus kekal di kedudukan teratas carta pingat sehingga Sukma 2022 menutup tirainya pada 24 September ini.
Beliau turut percaya, kejayaan itu juga sedikit sebanyak dapat mengubat duka kontinjen negeri selatan tanah air itu yang terpaksa menolak penganjuran edisi ke-20 pada 2020 kerana pandemik COVID-19. Namun, Johor akan menjadi tuan rumah edisi ke-21 pada 2024.
“Sasaran awal kita adalah 40 pingat emas, namun Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi telah melontarkan cabaran untuk kita sekurang-kurangnya meraih 50 emas. Kita mendapat banyak pingat yang tidak disangka.
“Jika kita capai 40 emas, kita boleh berada dalam top five, jika lebih 40 boleh capai top three dan sekiranya lebih 50 emas, kita boleh muncul juara. Kenu dijangka menjadi penyumbang emas utama dengan sasaran 14 emas,” katanya pada satu sidang media di sini, malam tadi.
Selepas hampir 28% daripada keseluruhan 426 emas telah dipertandingkan setakat malam tadi, Johor mendahului senarai kutipan pingat Sukma kali ini dengan 29 emas, 18 perak dan 14 gangsa, diikuti Sabah (13-12-11), Terengganu (12-13-10) dan Wilayah Persekutuan (10-12-18).
Mohamad Najib menjelaskan bahawa prestasi cemerlang atlet Johor pada kali ini, disebabkan oleh persediaan atlet negeri itu sejak empat tahun lepas selepas tamatnya edisi 2018 di Perak apabila Johor diumumkan sebagai tuan rumah edisi 2020.
“Sejak 2018 lagi, semua atlet, persatuan sukan negeri dan Majlis Sukan Negeri terlibat secara langsung dalam program pembangunan sukan dan saya rasa inilah hasilnya selepas usaha keras selama empat tahun ini.
“Kita juga berharap pelbagai kejayaan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak, dengan yang terbaharu muncul juara Piala FA dapat memberikan tonik tambahan kepada atlet kita. Ia terutamanya bagi meraih emas bola sepak Sukma buat pertama kali,” katanya.
(Foto fail)
Beliau turut mengakui bahawa banyak negeri kini mula melihat Johor sebagai kuasa besar sukan tanah air yang baharu, ekoran kejayaan JDT dan atlet-atlet lain dari negeri itu.
Pencapaian terbaik Johor sejak Sukma bermula pada 1986 adalah kedudukan kedua dengan kutipan 20 emas selaku tuan rumah edisi 1992, manakala dari segi pencapaian pingat adalah menerusi edisi 2010 di Melaka dengan meraih 40 emas.
Pada edisi Perak empat tahun lepas, Johor menamatkan saingan di kedudukan kesembilan selepas meraih 29-34-37, manakala Terengganu muncul juara buat kali kelima dengan pencapaian 56-51-53. -BERNAMA