fb fb fb fb fb

Joao Cancelo ke Bayern Munich secara pinjaman

BERLIN, 31 Januari-Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich berjaya memeterai perjanjian secara pinjaman bagi mendapatkan Joao Cancelo daripada Manchester City sehingga hujung musim.

Perkara tersebut disahkan oleh kelab tersebut hari ini.

Menerusi perjanjian tersebut, Bayern Munich mempunyai pilihan bagi membeli pemain berkenaan yang dianggarkan bernilai 70 juta Euro pada penghujung musim.

Cancelo yang telah menjaringkan 7 gol dan membuat 41 penampilan bersama Portugal tiba di Munich Isnin lalu dan telah menyempurnakan pemeriksaan perubatan pada Selasa lalu.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Bayern Munich, Cancelo meluahkan rasa terujanya kerana dapat menyertai dan bermain untuk kelab tersebut.

"Bayern Munich merupakan salah satu kelab terbaik di dunia. Semestinya dapat bermain bersama-sama pemain terbaik mampu memberi motivasi terbaik bagi meningkatkan permainan", ujarnya.

"Kelab ini sentiasa dahagakan kemenangan dan kejuaraan seperti mana saya juga", tambah Cancelo.

Sementara itu, Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic pula berkata corak permainan yang dimiliki Cancelo bersesuaian dengan corak menyerang yang diterapkan oleh kelab berkenaan.

Cancelo sebelum ini telah disisihkan oleh bekas pengurusnya sebelum ini, Pep Guardiola dalam tiga perlawanan terakhirnya di Manchester City.

Pengurus berkarisma itu dilihat lebih suka menggunakan Rico Lewis, di samping Nathan Ake dan Kyle Walker bagi posisi pertahanan kelab itu.

Cancelo dijangka membuat penampilan bersama Bayern Munich ketika menentang Mainz rabu ini.-AFP


(Pemain pertahanan Portugal, Joao Cancelo/FOTO AFP)

Media Baharu