fb fb fb fb fb

Kejohanan Golf Berpasukan Amatur SEA: Pasukan negara diperkuat Jing Xuen, Malcolm

(Majlis pengenalan pasukan yang berlangsung semalam di Kelab Golf Mines Resort)

KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Aksi Kejohanan Golf Berpasukan Amatur SEA kembali lagi dengan dua pemain muda kebangsaan akan memperkuatkan pasukan negara.

Persatuan Golf Malaysia (MGA) dalam satu kenyataan memaklumkan pemain dan pasukan terbaik kini bersedia untuk bersaing bagi merebut gelaran dalam empat acara ikonik itu iaitu Piala Putra ke-60, Piala Lion City ke-14, Piala Santi ke-12 dan Piala Kartini ke-8.

"Dua pemain terbaik negara iaitu Malcolm Ting yang merupakan pemenang pingat perak Sukan SEA 2023 akan bermain dalam pasukan Piala Putra, serta pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 Ng Jing Xuen (Piala Santi), sekali gus memperkuatkan pasukan Malaysia pada kejohanan itu tahun ini.

“Pemain lain dalam pasukan Piala Putra pula ialah Anson Yeo, Nateeshvar Ganesh dan Zia Iqmal, manakala Piala Lion City akan diwakili bakat muda Andrew Yap, Muhamad Ajmal Amin Mohd Fajri dan Muhammad Adif Haikal Md Hazan,” menurut kenyataan tersebut.

Selain Jing Xuen, skuad negara diwakili Wang Xin Yao dan Charlayne Chong Shin Lin dalam Piala Santi manakala pasukan Piala Kartini diwakili Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, Ngo Yi Belle dan Siti Nur Husna Aina Abd Karim Nast.

Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd berkata barisan pemain yang baik dan berbakat yang akan menyertai kejohanan tahun ini, akan menjadikannya amat menarik.

“Ia satu gabungan pemain profesional berpengalaman dan bintang baru meningkat, yang menjadikan kejohanan itu sebagai sesuatu yang sukar diramalkan dan mendebarkan,” katanya.

Singapura, penyandang juara Piala Putra dari 2019, dilihat bakal memberikan cabaran besar kepada
pasukan negara.

Pasukan Piala Putra Singapura dibarisi Nathen En Quan Tan, Irvyn Sheng Kang Tan, Qi Wen Wong dan Sean Cheng Ee Pang.

Sementara, Thailand, yang dikenali sebagai kuasa besar golf Asia Tenggara menyertai Piala Putra dengan reputasi baik setelah merangkul gelaran Piala Kota Singa, Piala Santi, dan Piala Kartini pada 2019.

Kejohanan Golf Berpasukan Amatur SEA berlangsung di Kelab Golf Mines Resort bermula hari ini sehingga 24 Ogos, dengan majlis pengenalan pasukan diadakan semalam.

Kejohanan disertai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Hong Kong, China, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan tuan rumah Malaysia.


(Para pemain yang mewakili Malaysia)

Media Baharu