fb fb fb fb fb

Jenazah Shaharuddin Abdullah 'The Black Cat' selamat dikebumikan

Jenazah lagenda bola sepak negara, Shaharuddin Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kamunting, Perak/FOTO RTM Perak

TAIPING, 28 Disember - Jenazah legenda bola sepak negara, Shaharuddin Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kamunting, Perak di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Suasana hiba menyelubungi kawasan tanah perkuburan yang dihadiri lebih 100 kenalan rapat, saudara-mara dan penduduk setempat.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman anaknya di Jalan Tok Jana 3, Kampung Kaki Bukit Jana dari Hospital Taiping sebelum disembahyangkan di Surau Nurul Hidayah Kamunting, Taiping.

Allahyarham, 75 tahun dimasukkan ke hospital berkenaan pada Sabtu lepas akibat lelah dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.

Penjaring gol sulung Malaysia di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 berasal dari Bagan Dalam George Town Pulau Pinang merupakan antara watak penting dalam sejarah bola sepak negara.

Allahyarham juga dikenali sebagai ‘The Black Cat’, ‘The Black Eagle’ dan ‘Sharpshooter’ meninggalkan tujuh orang anak dan dua daripadanya, Shafiq, 29, Shahwan, 28, mengikut jejaknya bermain bola sepak.

Allahyarham menyarung jersi Malaysia sekitar 1967 sehingga 1981 dan pernah meraih gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Teheran Iran.

Beliau juga merupakan adik kepada bekas kapten Harimau Malaya, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, yang meninggal dunia pada Disember 2020 akibat barah usus.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN