fb fb fb fb fb

'Ayah penasihat utama dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak'

Syafiq Shaharudin, 29, menyifatkan bapanya seorang yang tegas dan berdisplin dalam mendidik anak-anak

TAIPING, 28 Disember - Anak kepada legenda bola sepak negara Allahyarham Shaharudin Abdullah, Syafiq Shaharudin, 29, menyifatkan bapanya seorang yang tegas dan berdisplin dalam mendidik anak-anak.

Jelas penyerang Kuala Lumpur Rovers itu, Allahyarham sentiasa tegas dalam setiap keputusan terutama ketika memberi nasihat.

Allahyarham juga merupakan penasihat paling utama dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

“Ayah dah dua tahun menderita sakit asma. Tapi dalam sakit-sakit tu dia masih mengambil berat tentang kami adik-beradik terutama selepas mak meninggal dunia tahun lepas.

"Malah sejak kebelakangan ini beliau sentiasa mahu bersama anak-anak dan cucu-cucunya,” katanya ketika ditemui RTM hari ini.

Sementara itu, hajat penyokong setia mahu bertemu Allahyarham tidak kesampaian apabila pemain legenda bola sepak itu meninggal dunia di Hospital Taiping pagi tadi.

Menurut Rus Bakar Ruraini Shafie, 65 tahun beliau mengetahui mengenai keadaan Allahyarham yang dimasukkan ke hospital dan berusaha untuk datang melawat meskipun dalam keadaan berkerusi roda akibat penyakit slip disc.

Namun ketika dalam perjalanan dari Ipoh pagi tadi, beliau mendapat perkhabaran Allahyarham sudah tiada.

“Saya sangat minat Allahyarham sebab suka dengan corak permainannya yang laju. Dia antara penyerang terbaik yang kita ada pada masa itu.

“Dari dulu lagi saya teringin hendak berjumpa secara bersemuka dengan Allahyaram tapi tidak berkesempatan. Sebelum ini cuma boleh tengok daripada jauh sahaja selepas mana-mana perlawanan bola sepak.

“Hari ini bila sudah ada peluang… saya hanya dapat menziarahi jenazahnya,'' katanya yang berkongsi kesedihan ketika ditemui RTM.

Jenazah legenda bola sepak negara, Shaharuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kamunting, Perak di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Allahyarham, 75 tahun dimasukkan ke hospital berkenaan pada Sabtu lepas akibat lelah dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.

Allahyarham juga dikenali sebagai ‘The Black Cat’, ‘The Black Eagle’ dan ‘Sharpshooter’ meninggalkan tujuh orang anak dan dua daripadanya, Shafiq, 29, Shahwan, 28, mengikut jejaknya bermain bola sepak.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN