fb fb fb fb fb

Legenda bola sepak negara, Shaharuddin "The Black Cat" meninggal dunia

Allahyarham Shaharuddin Abdullah

IPOH, 28 Disember- Legenda bola sepak negara Shaharuddin Abdullah, 75 tahun meninggal dunia di Hospital Taiping, Perak pada pukul 5.07 pagi tadi.

Berita pemergian penjaring gol sulung Malaysia di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 itu disahkan anaknya, Shahrina Shaharuddin.

Arwah dimasukkan ke hospital berkenaan pada Ahad lepas akibat lelah atau sesak nafas. Difahamkan arwah juga menghadapi masalah darah tinggi dan asma.

Jenazah akan dibawa pulang ke kediaman anaknya di Kampung Kaki Bukit Jana dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Silverstone Kamunting selepas Zuhur hari ini.

Allahyarham, 75 tahun anak jati Bagan Dalam, George Town Pulau Pinang merupakan antara watak penting dalam sejarah bola sepak negara.

Allahyarham dikenali ‘The Black Cat’ dan ‘Sharpshooter’ menyarung jersi Malaysia sekitar 1968 sehingga 1981 dan pernah meraih gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran Iran.

MAT YUNUS BIN SABRI