DUNGUN, 28 Disember - Dua buah keluarga di Kampung Pengkalan Jering, di sini yang terperangkap banjir selepas air sungai melimpah dan naik mendadak di kawasan rumah mereka berjaya di selamatkan malam tadi.
Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan paras air Sungai Dungun melimpah kira-kira pukul 8.00 malam tadi dan dua keluarga berkenaan tidak dapat keluar untuk berpindah ke pusat perpindahan sementara (PPS).
Polis yang menerima panggilan kecemasan daripada pihak pengurusan kampung berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam tadi memaklumkan, dua keluarga berkenaan terdiri daripada lapan penduduk telah terperangkap di dalam rumah mereka.
Sehubungan itu, satu operasi menyelamat terdiri daripada sembilan anggota pasukan RES-Q, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilancarkan kira-kira pukul 9.00 malam tadi.
Pasukan menyelamat yang menggunakan sebuah bot berdepan dengan pelbagai kesukaran selepas terpaksa melalui jarak perjalanan kira-kira 1.5 kilometer dalam keadaan gelap dan arus banjir yang deras.
Sejurus tiba di lokasi kawasan penduduk terjejas itu, pasukan penyelamat mendapati kesemua mereka berada di dalam dua buah rumah yang jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.
Pasukan menyelamat berjaya membawa keluar kesemua penduduk terbabit dan operasi berkenaan berakhir sepenuh kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Kesemua penduduk terbabit kemudiannya dibawa ke PPS Sekolah Kebangsaan Tanjung Pati kira-kira pukul 11.30 malam tadi.