ATLANTA, 10 Ogos β Jen Pawol mencatat sejarah sukan besbol apabila menjadi wanita pertama mengadili perlawanan musim biasa Major League Baseball (MLB) dalam aksi antara Miami Marlins dan Atlanta Braves di Truist Park.
Pawol, 48, bertugas di base pertama pada perlawanan pertama aksi dua kali (doubleheader) itu, sebelum dijangka mengendalikan base ketiga pada perlawanan kedua.
Beliau turut dijadualkan menjadi umpire di belakang plate pada aksi penutup siri hari ini.
Aksi dua kali tersebut memerlukan seorang umpire tambahan dalam kru, dengan perlawanan pertama menjadi pengganti jadual asal pada 6 April lalu yang ditangguhkan.
Pawol memulakan kerjaya sebagai umpire liga kecil pada 2016 dan pernah mengadili perlawanan latihan musim bunga pada 2024 dan 2025.
Beliau merupakan salah seorang daripada 17 umpire Triple-A yang layak dipanggil bagi tugasan MLB.
Menurut laporan ESPN, Pawol berkata beliau diliputi emosi apabila menerima panggilan daripada pihak liga pada Khamis lalu yang memaklumkan penampilan sulungnya di MLB.
βIa amat mengharukan apabila akhirnya menerima panggilan yang saya impikan dan usahakan sekian lama. Saya berasa penuh semangat, seperti bateri yang dicas sepenuhnya dan sedia beraksi,β katanya. -REUTERS