PARIS, 10 Ogos – Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan perpindahan penjaga gol Perancis, Lucas Chevalier dari Lille dengan kontrak sehingga 2030.
Pemain berusia 23 tahun itu dilaporkan menyertai juara Ligue 1 dan Liga Juara-Juara Eropah tersebut dengan yuran perpindahan sekitar €40 juta (AS$47 juta) dan dijangka menggantikan Gianluigi Donnarumma sebagai penjaga gol utama dalam skuad kendalian Luis Enrique.
“Saya seorang anak kecil yang kini hidup dalam impian. Sejak kecil saya mahu bermain di tahap paling tinggi. Saya amat gembira berada di sini dan akan memakai jersi ini dengan penuh semangat serta cita-cita,” kata Chevalier.
Dilahirkan di Calais, Chevalier merupakan produk akademi remaja Lille dan pernah dipinjamkan ke Valenciennes sebelum memegang peranan sebagai penjaga gol utama pada musim 2022-23. Musim lalu, beliau dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Ligue 1 oleh kesatuan pemain profesional Perancis (UNFP).
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi menyifatkan Chevalier sebagai “salah seorang penjaga gol terkemuka di Perancis dan Eropah” serta tambahan penting dalam membina pasukan untuk jangka panjang.
PSG akan berdepan Tottenham Hotspur bagi aksi Piala Super UEFA pada Rabu. -REUTERS