fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 peserta meriahkan kayuhan MPAJ 2025

Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam Program Kayuhan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025

AMPANG JAYA, 10 Ogos – Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam Program Kayuhan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025 yang berlangsung meriah hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata program berkenaan bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti berbasikal bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

Kayuhan bermula dari Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang, melalui Jalan Taman Putra dan Laman Niaga Ampang Waterfront, sebelum memasuki laluan Lebuhraya East Klang Valley Expressway (EKVE) yang baru siap fasa pertama dan bakal dibuka kepada lalu lintas awam.

1008 KAYUHAN MPAJ 2Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari

“Kayuhan ini julung kali dianjurkan bersempena pembukaan EKVE yang melibatkan jajaran di Ampang Jaya. Sambutan amat menggalakkan dengan 1,200 peserta mengambil bahagian pagi ini, melalui laluan sejauh 50 kilometer,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kayuhan, Penanaman Pokok dan Kibaran Jalur Gemilang, di sini.

Selain kayuhan, program turut dimeriahkan dengan aktiviti penanaman pokok dan kibaran Jalur Gemilang.

Sebanyak 40 wakil sekolah menerima sijil penyertaan dan sumbangan pokok untuk ditanam di sekolah masing-masing, sebagai usaha menyokong kelestarian alam sekitar dan mencapai sasaran penanaman 11 juta pokok di Selangor menjelang 2026.

1008 KAYUHAN MPAJ 3ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menyambut baik inisiatif penganjuran program gabungan itu yang mengangkat tiga elemen utama – sukan, kesedaran alam sekitar dan kemasyarakatan.

Beliau berkata, program seperti itu menjadi platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara komuniti setempat.

“Kadang-kadang kita tak mengenali jiran sendiri, lebih-lebih lagi di kawasan bandar. Melalui program sebegini, kita dapat memupuk semangat kejiranan yang biasanya lebih kuat di kawasan luar bandar, dan cuba mengubah realiti tersebut di kawasan bandar,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN