ALOR SETAR, 6 Februari- Jelajah pra-musim ke Eropah menjadi medan terbaik untuk menguji watak, minda, kemahiran dan penglihatan para pemain skuad Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA FC).
Langkah ini sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan membuka tirai pada hujung bulan ini.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata Sang Kenari dipaksa terbang ke Antalya, Turkiye meninggalkan zon selesa bagi menghadapi iklim, persekitaran dan pasukan serta rakan-rakan baru di Eropah.
Beliau berkata, sepanjang berada di sana, setiap pemain diingatkan supaya menjaga persahabatan dengan semua pihak.
Malah ia merupakan peluang terbaik mempunyai rakan-rakan baru bagi membina kerja masing-masing dalam dunia bola sepak.
“Saya dapat lihat keterujaan dalam wajah masing-masing. Semuanya ingin menghirup udara segar di Antalya sambil memperkuatkan kemahiran dan cara fikir sebagai pemain bola profesional.
"Saya pun teruja nak tag along dengan mereka. Kerja saya masih banyak di Malaysi,” katanya selepas mengucapkan selamat jalan kepada pasukan KDA FC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, malam tadi.
KDA FC berlepas dari KLIA ke Antalya, lewat malam tadi bagi menghadapi siri jelajah pra-musim di Eropah.
(Tan Sri Mohd Daud Bakar (kanan))
Ia merupakan julung kalinya pasukan Sang Kenari ke Eropah dan kelab pertama dari Liga Malaysia mengadakan empat siri perlawanan persahabatan bertemu kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine.
Sepanjang 10 hari berada di Antalya, Sang Kenari akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari; FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan pada 10 Februari; FK Maqtaraal dari Kazakhstan pada 12 Februari; dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Februari.