fb fb fb fb fb

Melaka FC sasar kutip mata di laman sendiri bertemu Penang FC

Ketua Jurulatih Melaka FC, K. Devan

AYER KEROH, 6 Ogos – Melaka FC bertekad memberikan aksi terbaik dalam perlawanan pertama di laman sendiri menentang Penang FC pada 13 Ogos ini dalam saingan Liga Super Malaysia 2025.

Ketua Jurulatih Melaka FC, K. Devan berkata pasukannya akan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri bagi mengutip mata penting, namun tidak meletakkan sasaran tinggi memandangkan ini merupakan penampilan sulung mereka di pentas Liga Super.

“Kita pendatang baru dan ini musim pertama beraksi dalam Liga Super. Jika kita berjaya capai kedudukan pertengahan liga, itu sudah dikira pencapaian terbaik, memandangkan kita akan bertemu pasukan-pasukan yang jauh lebih kuat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Rasmi dan Pengenalan Pemain Melaka FC di Ayer Keroh, yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di sini.

Untuk musim ini, Melaka FC menampilkan barisan pemain import dari beberapa negara termasuk Brazil dan Nigeria, bagi memperkukuh pasukan menghadapi cabaran kompetitif Liga Super.

0608 SKN MLK FC LIGA SUPER 2Datuk Nur Azmi Ahmad

Sementara itu, pemilik Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad memberi jaminan isu tunggakan gaji tidak akan membelenggu pasukan musim ini.

Beliau memaklumkan bahawa pihak pengurusan telah mengadakan rundingan dengan pemain berhubung kaedah pembayaran gaji secara terancang dan bersasar.

“Saya tahu saya tak bayar gaji seperti negeri-negeri lain, tetapi saya ada KPI sendiri. Kita telah berbincang dengan semua pemain mengenai struktur pembayaran, bulan pertama bagaimana, bulan kedua bagaimana dan mereka bersetuju dengan perancangan itu. Kita tidak mahu pemain tertekan dengan isu gaji,” jelasnya.

Musim ini menyaksikan Melaka FC sebagai antara pasukan baharu yang menyertai kancah Liga Super, selain Imigresen FC dan pasukan dari Brunei, DPMM FC.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN