KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Skuad bola sepak bawah-20 (B-20) negara memulakan kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-20 dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Iran dalam aksi Kumpulan F di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Rabu.
Iran mendahului menerusi dua jaringan penyerang utama, Maryam Dini pada minit ke-13 dan ke-28, sebelum pemain gantian, Asal Ghajarian menambah gol ketiga pada penghujung permainan.
Ketua jurulatih negara, Cameron Ng, mengakui kecewa dengan keputusan itu namun tetap memuji semangat pemain yang berpegang pada pelan permainan walaupun dihukum kesilapan individu.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia di tangga ketiga kumpulan, manakala Iran menghuni kedudukan kedua dengan tiga mata, dipisahkan perbezaan jaringan dengan pendahulu, Jepun yang menewaskan Guam 5-0 pada aksi sebelah petang.
Malaysia seterusnya akan berdepan Jepun pada Jumaat sebelum menutup aksi Kumpulan F menentang Guam, Ahad ini.