fb fb fb fb fb

Thomas Mueller sah sertai Vancouver Whitecaps

Bekas bintang Jerman, Thomas Muller/Foto REUTERS

VANCOUVER, 7 Ogos – Bekas penyerang Jerman dan Bayern Munich, Thomas Mueller, telah menandatangani kontrak semusim bersama kelab Major League Soccer (MLS), Vancouver Whitecaps, menurut kenyataan rasmi kelab Kanada itu pada Rabu.

Mueller, yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-36 bulan depan, meninggalkan Bayern Munich hujung musim lalu selepas 25 tahun bersama gergasi Bundesliga itu.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau membantu kelab itu merangkul 13 kejuaraan Bundesliga dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain veteran itu menandatangani kontrak hingga penghujung musim 2025, dengan pilihan lanjutan untuk tahun 2026 sebagai 'Designated Player' status khas yang membolehkan pasukan MLS menawarkan gaji tinggi melebihi had gaji liga.

“Saya tidak sabar untuk ke Vancouver dan membantu pasukan ini merangkul kejuaraan,” kata Mueller dalam satu kenyataan.

“Saya dengar banyak perkara positif tentang bandar ini, tetapi matlamat utama saya ialah untuk menang", ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Sukan Whitecaps, Axel Schuster menyifatkan kehadiran Mueller sebagai satu detik bersejarah buat kelab.

“Ini satu tandatangan berprofil tinggi daripada kelab dan pemilik kami iaitu satu detik transformasi untuk kelab dan bandar ini. Kami berbangga menyambut Thomas ke Vancouver,” katanya.

Mueller yang memiliki 131 kaps dan menjaringkan 45 gol bersama Jerman, memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan itu menjuarai Piala Dunia 2014.

Sepanjang kariernya bersama Bayern Munich, beliau menjaringkan 250 gol dan mencipta 276 bantuan jaringan dalam 756 penampilan merentasi semua pertandingan.

Mueller turut membantu Bayern mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat bulan lalu, sebelum mereka disingkirkan oleh naib juara, Paris Saint-Germain.

Mueller dijangka tiba di Vancouver pada 13 Ogos. Whitecaps kini menduduki tangga kedua Persidangan Barat dan akan bertemu San Jose Earthquakes pada Ahad ini. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD