ALOR SETAR, 7 Ogos- Pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC optimis mampu memberi saingan kepada pasukan elit lain dalam saingan liga musim ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan pemain tempatan berpengalaman dan import menjadi tonik terbaik buat pasukan bimbingan Yusri Che Lah memberi saingan kepada 12 pasukan lain.
"Kami yakin penampilan pertama ini akan membuahkan hasil membanggakan, walaupun akan bertarung dengan pasukan yang lebih mantap persiapannya seperti JDT.
"Sedangkan Imigresen hanya membuat persiapan di Padang MADA. Saya beritahu Yusri sebagai ketua jurulatih tak perlu gundah gulana. Fokus kepada membina pasukan.
"Paling penting memberikan persembahan terbaik di atas padang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Jersi dan Pengenalan Pemain serta Penaja pasukan Liga Super Imigresen FC musim 2025/2026 di sini, malam tadi.
Antara pemain yang menyarung jersi Imigresen FC ialah lapan pemain berasal dari Kedah termasuk enam bekas pemain Kedah Darul Aman, KDA FC.
Antaranya Rizal Ghazali, Fayadh Zulkifli, Halim Saari, Fadzrul Danel dan Al Hafiz Harun.
Selain itu, pasukan turut diperkuatkan dengan enam pemain import iaitu Rafael Isehard Holstein dan Joao Pedro Boeira dari Brazil; Eduardo Jose Sosa Vegas (Venezuela), Elvis Kamsoba (Australia), Amirali Chegini (Iran) dan Thiha Zaw (Myanmar).
Dua lagi pemain import dijangka tiba dalam masa terdekat.
Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, Imigresen FC akan berlatih di Padang MADA Ampang Jajar, Alor Setar, namun terpaksa beraksi di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai gelanggang tuan rumah.
Pihaknya kini sedang berusaha untuk membolehkan pasukan itu beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar atau Stadium Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar sebagai gelanggang tuan rumah.
"Tapi yang terbaik jika Stadium Darul Aman dapat beri pilihan, kami bercadang untuk pajak satu musim.
"Pendapatan pun bagus untuk stadium sebab tak bertembung. Liga Super main waktu malam, Liga A1 main petang. Jadi ini peluang yang terbaik. Kami ada tiga pilihan stadium tapi berniat untuk bermain di Stadium Darul Aman," katanya.
Imigresen FC yang menjadikan kawasan wilayah utara tanah air sebagai pengkalan utama menyasarkan kedudukan empat terbaik.
Selain Liga Super, Imigresen FC turut mempunyai pasukan yang bersaing di Liga A1 Semi Pro.