fb fb fb fb fb

Son Heung-min sah milik LAFC

Bekas ketua pasukan Spurs, Son Heung-min/Foto REUTERS

LOS ANGELES, 7 Ogos – Penyerang Korea Selatan, Son Heung-min, sah menyertai Los Angeles FC (LAFC) sekali gus menamatkan karier selama sedekad bersama Tottenham Hotspur.

Perpindahan pemain berusia 33 tahun itu diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua kelab pada Rabu, namun butiran kewangan tidak didedahkan.

Bagaimanapun, menurut laporan The Athletic, LAFC membayar yuran perpindahan sekitar AS$26.5 juta (kira-kira RM124 juta), menjadikannya perpindahan termahal dalam sejarah liga tersebut.

Heung-min menyertai Tottenham dari Bayer Leverkusen pada 2015 dan mencatat sejarah musim lalu apabila mengetuai kelab London Utara itu menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun, selepas menewaskan Manchester United 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Europa pada Mei.

Bekas kapten Spurs itu membuat 454 penampilan dan menjaringkan 173 gol sepanjang bersama kelab itu, termasuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim 2021-22.

Son, yang memiliki 134 kaps bersama skuad kebangsaan Korea Selatan, menyertai LAFC selepas mengucapkan selamat tinggal dalam satu perlawanan persahabatan penuh emosi menentang Newcastle United di Stadium Piala Dunia Seoul, baru-baru ini. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD