KUALA LUMPUR, 28 Januari - Kejohanan berbasikal Jelajah Malaysia edisi ke-54 kini kembali dianjurkan tahun ini selepas lima tahun tidak dipertandingkan.
Siri jelajah berstatus 2.2 yang akan membuka tirai 26 Februari ini bakal berlangsung meriah dengan penyertaan pasukan antarabangsa.
Menurut Pengerusi Eksekutif Jelajah Malaysia, Datuk Nik Rosma Nik Mohamed, perlumbaan dengan jarak keseluruhan 728.45 kilometer berjaya menarik penyertaan 24 pasukan dengan 16 pasukan berstatus benua, dua pasukan kebangsaan dengan 120 pelumba.
"Dari segi penganjuran terlalu memberansangkan, meski pun pada awalnya agak susah untuk mendapatkan tajaan daripada pelbagai pihak. Sepatutnya Jelajah Malaysia ini diadakan pada tahun 2020, namun kerana berdepan dengan pandemik COVID-19 acara ditangguhkan dan diteruskan pada tahun ini.
"Kita doakan agar semuanya berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media pengumuman laluan JM54 semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Acara Jelajah Malaysia, Jamaludin Mahmood memberi jaminan bahawa 80 peratus laluan edisi kali ini selamat daripada kawasan banjir.
Jelas beliau, laluan alternatif juga sudah disediakan pihaknya jika laluan sedia ada tidak dapat digunakan disebabkan banjir.
“Kita sudah buat tinjauan, mungkin ada beberapa tempat yang terkesan (banjir). Bagaimanapun perlumbaan ini dibuat luar musim hujan dan 80 peratus selamat dari banjir.
“Sebenarnya kita sudah mempunyai pelan sokongan sekiranya perkara itu berlaku. Kita sudah ada laluan alternatif.
“Kita juga pernah berdepan situasi seperti ini semasa Le Tour De Langkawi 2010 yang mana kami sudah siapkan laluan alternatif. Jadi kami harap perlumbaan ini akan lancar tanpa sebarang musibah dan sebagainya,” katanya.
Jelajah Malaysia akan bermula di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka dan berakhir di Meru Raya, Ipoh pada 2 Mac depan.
Sebanyak empat jersi ditawarkan iaitu Jersi Pendahulu keseluruhan pelumba, Jersi Raja Bukit, Jersi Raja Pecut dan Jersi pelumba muda terbaik.