BUKIT JALIL, 3 Febuari- Biarpun tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Para Kebangsaan, watak R.Jeganathan masih relevan dalam arena sukan itu.
Menurut Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, Jeganathan akan diberi peranan berbeza iaitu mencungkil bakat dan melatih jurulatih-jurulatih para yang baharu.
Namun begitu, jawatan yang bakal diterima jurulatih itu masih dalam perbincangan antara pihak Majlis Sukan Negara-MASN, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Sebanarnya kami sudah berbincang dengan beliau (Jeganathan) untuk melatih jurulatih para olahraga,tapi jawatan apa masih dalam perbincangan,
"Buat masa sekarang, tema dan syarat juga belum dibincangkan. Namun Jeganathan telah bersetuju untuk membantu persatuan," jelas Mohd Zarrawi dalam sidang media di Bukit Jalil.
Sementara itu, Jeganathan yang turut ditemui dalam majlis sama berkata, meskipun tidak lagi bergelar Ketua Jurulatih, beliau akan tetap membantu dan memberikan khidmat nasihat kepada jurulatih baharu.
"Sudang sampai masanya saya menyerahkan tugas ini kepada jurulatih muda untuk meneruskan karier kejurulatihan pada tahap yang lebih tinggi,
"Mereka juga perlu diberi peluang dan ruang untuk mempelajari selok belok pengendalian latihan atlet para daripada sekarang," jelas Jeganathan.
Sebelum ini, Jeganathan telah mengemukakan rayuan untuk meneruskan khidmatnya selepas kontraknya tamat tahun lalu.
Namun begitu, MSN bersama Persatuan Olahraga Para Malaysia memilih untuk memberikan peranan baharu buat beliau dan melantik pembantunya, Ahmad Rafee Arifin sebagai Ketua Jurulatih Olaraga Para acara Trek yang baharu dan bakal dibantu Eryanto Bahtiar.
Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.