fb fb fb fb fb

JDT telah pamer persembahan luar biasa - Xisco Munoz

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz memuji aksi dipamerkan pemain skuad Harimau Selatan sewaktu meraih kemenangan 6-0 menentang Penang FC / Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI, 12 September - Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz akui pasukan telah mempamerkan persembahan luar biasa ketika menewaskan Penang FC 6-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Jelas beliau skuad Harimau Selatan itu perlu meningkatkan lagi prestasi mereka dalam saingan musim ini.

Dalam masa sama jurulatih tersebut tetap berharap pasukannya tidak harus berasa selesa dengan keputusan berkenaan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Buriram United di Stadium Buriram, Thailand pada 16 September ini.

"Prestasi pasukan pada separuh masa pertama berada pada tahap tertinggi apabila kami dapat mengawal situasi yang mencabar, ia merupakan satu persembahan yang baik.

"Saya sangat berpuas hati dengan perkara itu dan yakin bahawa pasukan akan bertambah baik setiap hari, kerana ada pemain yang bermain bersama buat kali pertama dan mereka perlu memahami aspek taktikal dengan lebih mendalam," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan besar yang diraih JDT dalam aksi tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan berada di kedudukan teratas Liga Super dengan 15 mata selepas 5 perlawanan berlangsung.

Pasukan tersebut kini dibezakan dengan kelebihan lima mata daripada pasukan tangga kedua, KL City FC.

Selepas ini JDT dijadual melayan kunjungan Sabah FC dalam saingan Liga Super pada 21 September di Stadium Sultan Ibrahim.

ZAZALI JAMIAN