fb fb fb fb fb

JDT selesa benam Sabah untuk layak ke saingan akhir Piala Malaysia dua musim berturut-turut

(Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi dicabar pemain pertahanan Sabah FC, Gerald Gadit pada
perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim/ Foto BERNAMA)

ISKANDAR PUTERI, 21 November - Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kemaraan ke saingan akhir Piala Malaysia untuk musim kedua berturut-turut selepas mencatat kemenangan agregat 4-1 berdepan Sabah FC.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi, ketiga-tiga penyerang JDT Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Muhammad Syafiq Ahmad masing-masing membuktikan ketajaman mereka apabila mencetak nama sebagai penjaring dalam membantu skuad Harimau Selatan merakam kemenangan 3-1 di laman sendiri.

Selepas hanya meraih kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu Selasa lepas, JDT tampil lebih garang malam ini dan berpeluang mendahului seawal minit keenam, namun penjaga gol Damien Lim cekap menyelamatkan percubaan Bergson dalam situasi satu lawan satu.

Tiga minit kemudian, giliran Forestieri menguji ketangkasan Damien menerusi percubaan jarak jauh yang berjaya ditepis keluar sebelum penjaga gol itu sekali lagi dipaksa bekerja keras menyelamatkan rembatan padu Bergson dari luar kotak penalti pada minit ke-29.

Bagaimanapun, Damien tertewas jua selepas Bergson yang tidak dikawal tenang menanduk bola hantaran La'vere Corbin-ong dari sebelah kiri pada minit ke-35 sekali gus meledak jaringan keenam dalam kempen Piala Malaysia.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio menggandakan kedudukan enam minit berselang menerusi Forestieri berpunca hantaran jauh Mohd Afiq Fazail yang menuju tepat ke kaki Arif Aiman Mohd Hanapi di dalam kotak penalti untuk membuat umpanan kepada Forestieri yang tenang melepaskan rembatan.

 
(Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira da Silva dihalang dua pemain pertahanan Sabah FC,
Rawilson Batul dan Gerald Gadit pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan
Ibrahim/ Foto BERNAMA)

Arif Aiman terlepas peluang keemasan untuk meledak jaringan ketiga JDT selepas rembatan dari jarak dekatnya diselamatkan Damien pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Sabah, di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya tampil dengan permainan lebih kemas dan tidak menunggu lama untuk menyumbat gol pertama pada minit ke-47 selepas Taiki Kagayama menyambar bola tangkapan tidak kemas ketua pasukan JDT Mohd Farizal Marlias.

Skuad Sang Badak sekali lagi melancarkan serangan berbahaya dengan kali ini penyerang veteran dan bekas pemain kebangsaan Mohd Amri Yahyah terlepas peluang keemasan selepas tandukannya tersasar pada minit ke-52.

Di penghujung permainan, pemain gantian Muhammad Safawi Rasid gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan sepakan beliau melambung tinggi, namun JDT tetap berjaya menjaringkan gol ketiga selepas Muhammad Syafiq menolak masuk hantaran lintang rakan sepasukan pada masa kecederaan.

JDT yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, muncul juara Piala Malaysia pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013. Edisi lepas menyaksikan JDT tewas di final kepada Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0 sementara bagi edisi 2020 saingan dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19. -BERNAMA

Media Baharu