fb fb fb fb fb

JDT Racing Team raih podium sulung di ARRC

Hafizh meraikan kejayaan di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand./ Foto FB JDT Racing Team

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team meraih podium pertama dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 menerusi pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah.

Dia menebus kekecewaan gagal menamatkan perlumbaan pertama, dengan mengakhiri perlumbaan kedua semalam (Ahad) di tempat kedua dalam kategori Asia Superbike 1000cc di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Bekas pelumba MotoGP negara itu gagal menamatkan perlumbaan pertama, selepas berdepan masalah teknikal pada jenteranya.

Bagaimanapun, dia mempamerkan tunggangan konsisten semalam (Ahad).

Salah satunya ketika dia berjaya memimpin perlumbaan sebelum dipintas pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar yang kemudiannya melintasi garisan penamat selaku juara.

Rakan sepasukan Andi, Nakarin Atirat-phuvapat mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.

Pada perlumbaan pertama Sabtu lalu, saingan diungguli seorang lagi pelumba kebangsaan, Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR BMW Racing Team.

Ia diikuti Andi di kedudukan kedua; manakala pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Md Zaqhwan Zaidi; ketiga.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD